Malaysia Terajui ASEAN-PAC, Angkat Misi Rantau Bebas Rasuah

PETALING JAYA: Malaysia kini mengambil alih teraju ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) daripada Indonesia, membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan Asia Tenggara lebih bersih, telus dan berintegriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, amanah itu bukan sekadar simbol kepimpinan tetapi tanggungjawab untuk memastikan agenda antirasuah tidak sekadar tinggal slogan.

“Apabila rasuah menular, ia bukan sekadar jenayah, ia mencuri masa depan rakyat dan merobohkan kepercayaan terhadap sistem,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-21 di Sunway Resort Hotel, pada Selasa.

Beliau berkata, perjuangan membanteras rasuah perlu dilihat sebagai usaha bersama yang merentas sempadan, melibatkan kerajaan, sektor swasta serta masyarakat sivil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pula menekankan bahawa kekuatan sebenar rantau ini terletak pada kesatuan tindakan, bukan hanya kenyataan.

“Apabila sektor awam dan swasta bergerak seiring, ruang untuk rasuah semakin sempit. Inilah semangat ASEAN-PAC yang mahu kita hidupkan,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan pelancaran portal khas ASEAN-PAC hasil inisiatif SPRM iaitu satu pusat digital bagi perkongsian maklumat dan tindakan pantas dalam isu rasuah rentas sempadan.

“Kita mahu pastikan maklumat tidak terperangkap di atas kertas. Portal ini akan jadi jambatan kerjasama antara semua negara anggota,” katanya lagi.

Mesyuarat kali ini turut membincangkan pelan tindakan baharu ASEAN-PAC Action Plan 2026–2028 yang menumpukan kepada penggunaan teknologi, pendidikan integriti dan jaringan pintar antara negara.

Anda Mungkin Berminat