RM150 Bilion Bukan Duit Rakyat, Perjanjian Malaysia-AS Tidak Gadai Kedaulatan – Tengku Zafrul

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menepis dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menggadaikan kedaulatan negara, sambil menegaskan bahawa nilai pembelian RM150 bilion yang disebut bukanlah wang rakyat.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung Klosa 5.1 dalam perjanjian itu sebagai tidak berasas dan berpunca daripada tafsiran yang tidak menyeluruh.

“Kalau baca perjanjian, kena baca penuh, jangan sekerat.

“Klosa itu jelas menyebut Malaysia hanya akan bertindak atas persetujuan bersama bagi menangani isu ekonomi atau keselamatan negara,” katanya.

Tengku Zafrul turut menolak dakwaan bahawa Malaysia terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap negara lain dan menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan semangat sebenar perjanjian tersebut.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa kerajaan dipaksa mengimport produk bernilai RM150 bilion semata-mata untuk mendapatkan tarif lebih rendah daripada AS.

“Itu tidak benar. RM150 bilion itu bukan duit rakyat tapi nilai perancangan pembelian oleh syarikat multinasional (MNC) seperti Intel, Google, Amazon dan Microsoft yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, jumlah itu bukan perbelanjaan kerajaan, sebaliknya merupakan pelaburan yang telah dirancang lebih awal oleh syarikat-syarikat berkenaan sebelum rundingan tarif dimulakan.

“Kita hanya kemukakan senarai pembelian sedia ada kepada AS untuk tunjuk bahawa Malaysia juga banyak membeli barangan dari mereka.

“Bila mereka lihat begitu, barulah pertimbangan penurunan tarif dibuat,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut adalah langkah diplomatik yang bertujuan memastikan rundingan tarif antara kedua-dua negara berlangsung secara adil dan saling menguntungkan tanpa menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang setara.

“Pelaburan oleh MNC ini sebenarnya bagus untuk Malaysia.

“Ia wujudkan peluang pekerjaan, kukuhkan industri dan tingkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat