PETALING JAYA: Kehadiran Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN bakal memperkaya nilai dan jiwa rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menzahirkan sokongan padu Malaysia terhadap aspirasi negara itu.
Dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, José Manuel Ramos-Horta, Anwar meluahkan penghargaan terhadap semangat perjuangan dan persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Suara nurani semakin malap di dunia hari ini tetapi Timor-Leste menyemangatinya kembali,” katanya, menyentuh tentang nilai kemanusiaan yang dibawa oleh Timor-Leste ke dalam kerangka serantau.
Anwar turut menyorot sejarah panjang perjuangan rakyat Timor-Leste yang penuh luka dan pengorbanan dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajahan.
“Negara ini meniti sejarah panjang perjuangan yang sarat dengan peristiwa derita dan menyayatkan, selain kezaliman dan kebobrokan yang dihamburkan imperialis ke atas warganya.
“Malaysia merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf perjuangan rakyat Timor-Leste, malah sokongan itu telah bermula sejak era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia berpegang teguh pada prinsip bahawa kekuatan ekonomi bukanlah satu-satunya ukuran dalam menentukan kelayakan keanggotaan ASEAN.
“Malaysia sendiri dahulu bukan negara kaya, begitu juga Laos dan Kemboja sewaktu diterima masuk ke ASEAN.
“Maka, tidak wajar mengukur nilai keanggotaan hanya pada aspek kekuatan ekonomi semata-mata,” katanya.
Sebagai langkah konkrit, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan telah mengarahkan Wisma Putra untuk memperkukuh kerjasama teknikal dan menempatkan pegawai di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi membantu mempercepat proses penyertaan Timor-Leste.








