PM ucap takziah pemergian konduktor orkestra tradisional negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional yang mengetuai persembahan semasa Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air yang banyak menyumbang kepada pengembangan muzik tradisional negara.

“Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan dedikasi Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional ke peringkat lebih tinggi serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu pemuzik.

Anwar turut berkongsi rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham, yang difahamkan anaknya bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini. Beliau mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.

“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam memperindah dunia muzik negara. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujar Anwar.

Majlis Makan Malam Gala ASEAN yang berlangsung baru-baru ini turut mendapat pujian ramai apabila persembahan orkestra tradisional pimpinan Allahyarham berjaya menonjolkan keindahan seni budaya Malaysia di mata dunia.

Anda Mungkin Berminat