BUSAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penurunan kadar tarif perdagangan terhadap China daripada 57 peratus kepada 47 peratus, dalam satu pertemuan bersejarah bersama Perdana Menteri China, Xi Jinping di Sidang Kemuncak Korea Selatan yang berlangsung di Busan pada Khamis.
Langkah itu termasuk pengurangan tarif ke atas bahan berkaitan fentanyl daripada 20 peratus kepada 10 peratus, sebagai sebahagian daripada rundingan yang turut menyentuh isu kawalan dadah dan perdagangan pertanian antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.
“Segala isu berkaitan nadir bumi telah diselesaikan. Tiada halangan lagi,” kata Trump.
Trump turut mengesahkan bahawa perjanjian tersebut melibatkan komitmen China untuk membeli sejumlah besar kacang soya dan hasil pertanian lain dari AS yang merupakan satu isu penting bagi sokongan politik beliau di kawasan pertanian serta antara titik rundingan utama dengan Beijing.
“Presiden AS turut menyifatkan pertemuan secara langsung beliau bersama Xi Jinping sebagai seorang pelopor dan pemimpin yang hebat bagi negara yang sangat berkuasa seperti China,” katanya.
Trump juga memaklumkan rancangannya untuk melawat China pada April tahun hadapan, sebagai kesinambungan kepada rundingan dua hala yang kini memasuki fasa baharu.
Antara hasil utama pertemuan itu ialah persetujuan sementara selama setahun berkaitan bekalan bahan nadir bumi dari China, komoditi penting dalam pembuatan komponen elektronik berteknologi tinggi.
Sebelum ini, China telah mengenakan kawalan tambahan terhadap eksport bahan tersebut, yang dikuasainya secara global.
Dalam isu fentanyl, Trump berkata, Xi telah bersetuju untuk memperketat kawalan terhadap aliran bahan itu ke AS, yang menjadi punca utama pengenaan tarif asal oleh Washington.
“AS akan turut menurunkan kadar tarif berkaitan fentanyl daripada 20 peratus kepada 10 peratus sekali gus menurunkan kadar tarif buat keseluruhan perdagangan terhadap China daripada 57 kepada 47 peratus,” katanya.
Pertemuan selama satu jam 40 minit itu merupakan yang pertama antara Trump dan Xi sejak 2019 dan menutup lawatan singkat Trump ke Asia yang turut melibatkan rundingan perdagangan dengan Korea Selatan, Jepun dan beberapa negara Asia Tenggara.
Trump menilai pertemuan itu sebagai ‘melebihi jangkaan’ dan menyifatkannya sebagai ’12 daripada skala 10′.
Selepas mesyuarat tertutup itu, Trump berlepas menaiki pesawat rasmi Air Force One, manakala Xi meninggalkan lokasi dengan limousin rasmi.








