PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik berdarah di Sudan agar segera kembali ke meja rundingan demi menghentikan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap pergolakan perang saudara yang berlarutan di negara itu khususnya tragedi di bandar El-Fasher yang menyaksikan lebih 1,500 nyawa terkorban termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan.
“Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini.
“Saya menyeru semua pihak yang terlibat agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan perdamaian demi masa depan rakyat Sudan,” katanya.
Mohd Na’im turut mengajak seluruh umat Islam untuk menunjukkan solidariti dan perpaduan ummah dalam mendesak agar peperangan dihentikan serta membantu meringankan penderitaan rakyat Sudan yang kini berdepan krisis kemanusiaan yang amat parah.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar rakyat Sudan terus tabah dan negara itu segera kembali aman dan makmur,” ujarnya.
Konflik di Sudan, yang meletus lebih setahun lalu selepas pertempuran di ibu negara Khartoum, kini semakin memburuk tanpa sebarang tanda akan reda.
Perang saudara antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah melemahkan struktur negara yang sedia rapuh sejak kejatuhan pemerintahan Omar al-Bashir.
Serangan terbaru di El-Fasher yang didalangi RSF disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai atau genosid oleh pemerhati antarabangsa, sekali gus mencetuskan kecaman global terhadap kekejaman yang berlaku.








