Mahkamah Arah Tutup Saluran ‘Edisi Khas’ dan ‘Edisi Siasat’ di Telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dekat sini membenarkan permohonan Injunksi Erinford yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menghalang penyiaran kandungan berunsur mudarat di platform Telegram, termasuk menutup sepenuhnya saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas.”

Perintah injunksi sementara itu dikeluarkan sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan berhubung tindakan sivil terhadap platform berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MCMC, mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, mengambil kira kemudaratan yang boleh timbul sekiranya kandungan berunsur palsu, menghasut dan mengelirukan terus disiarkan.

“Mahkamah turut memerintahkan supaya mana-mana saluran lain di Telegram yang mempunyai kandungan atau modus operandi serupa turut disekat serta-merta.

“Keputusan itu menjadi langkah penting dalam usaha memastikan ekosistem digital negara kekal selamat dan bertanggungjawab.

“Perintah ini bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara,” kata suruhanjaya itu lagi.

Mahkamah turut mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram agar lebih peka terhadap struktur sosial dan budaya Malaysia, serta menghormati konteks perlembagaan dan undang-undang tempatan dalam mengurus kandungan di platform mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat