Diskaun Saman Trafik Hingga 70 Peratus Mulai 1 November

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.

Kempen itu dilaksanakan selaras dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri pada 22 Oktober lalu, susulan keputusan kerajaan untuk menyelaraskan semula kadar serta kaedah kompaun saman trafik PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 Januari 2026, berasaskan prinsip “The less you delay, the less you pay”.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ( JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, orang ramai disaran mengambil peluang menyelesaikan saman tertunggak lebih awal bagi menikmati kadar diskaun tersebut.

“Pembayaran boleh dibuat melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, di semua kaunter trafik daerah serta Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tawaran diskaun tidak terpakai bagi kesalahan tidak boleh dikompaun (non-compoundable), manakala kadar minimum selepas diskaun ialah RM30.

“Orang ramai digalakkan untuk melunaskan saman sebelum tarikh akhir kempen bagi menyokong usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan lebih berdisiplin dan selamat.

“JSPT berharap inisiatif ini dapat mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab di jalan raya. Selamat bersama JSPT,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat