Oleh: Aliyaa Azmi
JIKA kebiasaannya sidang kemuncak antarabangsa sinonim dengan bahasa diplomasi yang formal, lain pula pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Dalam kesibukan rundingan dan pertemuan pemimpin dunia, Perdana Menteri berjaya mencuri perhatian rakyat dengan caranya yang tersendiri, melalui ‘Playlist ASEAN PMX’, himpunan lagu-lagu tempatan yang mengiringi momen diplomasi beliau di media sosial.
Setiap hantaran video dan gambar yang dimuat naik di akaun rasmi beliau seakan membawa ‘jiwa Malaysia’ dengan pemilihan lagu-lagu tempatan yang bukan sahaja sesuai dengan suasana, tetapi turut menghidupkan sentimen nostalgia dalam kalangan warganet.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah lagu “Samudera” nyanyian Aisyah Retno, yang digunakan dalam video majlis makan malam rasmi dihoskan oleh Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Manuel Ramos-Horta.
Aisyah sendiri tidak ketinggalan meninggalkan komen di Instagram Perdana Menteri:
“Terima kasih kerana menggunakan lagu ini, semoga jasa PMX yang seluas samudera sentiasa dikenang dan dihormati.”
Tidak lama kemudian, lagu “Pertemuan” nyanyian Erra Fazira pula dipilih bagi mengiringi video Rundingan Pimpinan Tahunan Malaysia–Australia ke-3 bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menjadikan ruangan komen hantaran itu dipenuhi pujian terhadap kreativiti pasukan media Perdana Menteri.
“Geng media PMX memang millennial/gen Z, pilihan lagu semua ada jiwa,” tulis seorang pengguna media sosial berseloroh.
Manakala ketika sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar menggunakan lagu “Lagenda” nyanyian Sheila Majid, seolah-olah tanda penghargaan kepada petugas media yang bertungkus-lumus membuat liputan sepanjang tiga hari sidang berlangsung.
“Sayu dengar lagu Lagenda sambil tengok gambar PMX dengan media. Nampak sangat hubungan rapat antara mereka,” kongsi Syahid Alyahya.
Fenomena ini turut merentasi sempadan apabila Perdana Menteri Singapura memuat naik video menggunakan lagu “Cak Cekuk” nyanyian Wani Kayrie, sambil menandai akaun Anwar di Instagram. Wani turut membalas,
“Terima kasih kerana menggunakan lagu saya dan salam sayang dari Malaysia!”
Dalam pertemuan lain, Anwar menggunakan lagu “Untuk Dia” nyanyian Sleeq ketika bertemu pemimpin republik itu, yang mendapat reaksi daripada Syarif, anggota kumpulan berkenaan:
“Terima kasih PMX dan pasukan media. Lagu dan gambar sangat sesuai. Semoga persahabatan Malaysia–Singapura berkekalan.”
Selain itu, lagu “Angkasa” nyanyian Diandra Arjunaidi turut digunakan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5, manakala lagu “Nostalgia” nyanyian Ernie Zakri menjadi pilihan bagi memperingati 50 tahun hubungan ASEAN–New Zealand.
Turut tersenarai dalam ‘playlist diplomasi’ Anwar ialah lagu “Cubit-Cubit Sayang” nyanyian Datuk M. Daud Kilau, yang digunakan dalam hantaran bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, satu penghormatan penuh nostalgia kepada legenda muzik tanah air.
Dari Samudera hingga Nostalgia, “Playlist ASEAN PMX” bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi simbol kelembutan diplomasi menggabungkan budaya, emosi dan identiti Malaysia dalam setiap langkah di pentas antarabangsa.
Baca juga:








