Lelaki Maut Ditetak Adik Ipar, Kepala Putus di Sawah Padi Jerlun

JERLUN: Seorang lelaki maut dengan kepalanya putus dipercayai ditetak adik ipar sendiri dalam kejadian pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.05 malam memaklumkan berlaku pergaduhan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, mayat mangsa berusia 45 tahun ditemui dalam keadaan terlentang di tengah sawah padi, kira-kira 30 meter dari rumah suspek.

“Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam selepas polis berjaya memujuknya keluar dari rumah dalam keadaan masih memegang sebilah parang.

“Parang berukuran 30 sentimeter itu turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam ini.

Mohd Radzi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun mempunyai hubungan abang dan adik ipar dengan mangsa.

“Keadaan mangsa ketika ditemui amat menyayat hati, dengan kepalanya putus dan terletak kira-kira satu meter dari badan.

“Beberapa kesan tetakan juga dikesan pada tubuh mangsa,” katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati kedua-dua mereka bekerja sebagai pesawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Mangsa mempunyai isteri dan dua anak, manakala suspek masih bujang dan tinggal berhampiran.

“Selepas kejadian, suspek bersembunyi di dalam biliknya sebelum berjaya dipujuk keluar kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat, manakala suspek akan direman esok di Mahkamah Alor Setar bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Mohd Radzi menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar dan motif kejadian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat