AI Mesti Santuni Manusia, Bukan Gantikan Nilai Kemanusiaan

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menghakis nilai kemanusiaan, sebaliknya mesti digunakan untuk memperkasa tamadun manusia.

Dalam kenyataan negara yang disampaikan pada sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 bertemakan ‘Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadap Masa Hadapan’, Anwar menekankan keperluan dunia menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai moral dan kemanusiaan.

“Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimana memastikan teknologi ini dapat menyantuni manusia tanpa menghilangkan nilai yang membentuk kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar, lebih setengah abad lalu, filasuf Jerman Martin Heidegger telah mengingatkan bahawa roh teknologi tidak terletak pada mesin, tetapi pada bagaimana ia mengubah cara manusia berfikir, berperilaku dan mencari makna hidup.

“Peringatan itu kekal relevan apabila algoritma dan data kini membentuk pandangan dunia serta mempengaruhi keputusan yang sepatutnya ditentukan oleh akal budi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyokong pembangunan AI yang memacu inovasi dan memperluas ilmu, namun kemajuan digital mesti bergerak seiring dengan prinsip kelestarian dan tanggungjawab moral.

“Kita tidak mahu dunia di mana peranti menentukan takdir manusia, tetapi masa depan di mana AI memperkasa kreativiti dan memperkukuh komuniti,” tegasnya.

Anwar menutup kenyataan dengan menekankan bahawa kemajuan sebenar bukan hanya menjadi negara pintar, tetapi bangsa yang bijaksana kerana kemajuan tanpa nilai hanya akan menyebabkan manusia kehilangan arah dan makna.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat