PETALING JAYA: Malaysia menutup tirai kepengerusiannya dalam ASEAN tahun ini dengan penuh kebanggaan dan pencapaian bersejarah, menandakan satu era kepimpinan yang berpaksikan perpaduan, keamanan dan kebijaksanaan serantau.
Sepanjang 2025, Malaysia telah menakhodai ASEAN dengan penuh keyakinan, mengemudi rantau ini di tengah-tengah perubahan dunia yang mencabar.
Di bawah panji perpaduan dan keamanan, negara ini berjaya menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa semangat ASEAN terus subur dipandu oleh rasional dan tujuan bersama.
Kemuncak kepada kepengerusian Malaysia disaksikan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur, di mana dua peristiwa penting terpahat dalam sejarah iaitu Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta pemeteraian ASEAN–China Free Trade Area 3.0
Tatkala teraju ASEAN diserahkan kepada Filipina, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas perjalanan yang telah dilalui, sambil mengakui bahawa meskipun tidak semua kebuntuan terurai, setiap langkah berani telah melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan.
“Tidak semua kebuntuan terurai, namun setiap langkah berani telah melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan.
“Di situlah kekuatan sebenar ASEAN yang berpaut pada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook bersama video.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kemesraan yang dihulurkan kepada para delegasi serantau sepanjang tahun yang mencabar ini.
“Kepada rakyat Malaysia, terima kasih atas kesabaran dan kemesraan yang dihulurkan kepada sahabat-sahabat serantau sepanjang tahun yang mencabar ini.
“Dunia telah menyaksikan, inilah wajah sebenar Malaysia!” katanya.








