KUALA LUMPUR: Pengarah dan penyanyi kontroversi, Namewee, 42, ditahan oleh polis di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel menjumpai sembilan biji pil berwarna biru disyaki pil ekstasi, yang dianggarkan seberat 5.12 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Fadil, suspek turut menjalani ujian saringan awal urin di IPD Dang Wangi dan didapati positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
“Suspek kemudian direman dua hari sebelum dituduh di mahkamah dengan dua pertuduhan pada 24 Oktober lalu,” katanya.
Pertuduhan pertama melibatkan kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang kena tuduh (OKT) tidak mengaku salah dan diberikan jamin mahkamah sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan,” katanya.
Pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan menggunakan dadah.
“OKT tidak mengaku bersalah dan diberikan jamin mahkamah sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan,” katanya lagi.
Tambah beliau, tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember ini.








