Malaysia Sasar Jadi Hab Blok Rantai Serantau – Gobind

PARLIMEN | Malaysia kini bersedia melangkah ke fasa baharu teknologi ‘blockchain’ (blok rantai) dengan pendekatan lebih agresif termasuk pembangunan dasar nasional dan rangka undang-undang tokenisasi aset.

Langkah itu bertujuan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi digital serantau yang berdaya saing.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berrkata, kerajaan komited untuk memastikan momentum pembangunan teknologi ini tidak terhenti selepas tamatnya Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021–2025 pada hujung tahun ini.

“Kementerian Digital telah dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras utama untuk membangunkan dasar dan hala tuju strategik teknologi digital termasuk teknologi ‘blockchain’,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) berhubung kesinambungan pelan tersebut serta perancangan kerajaan untuk mewujudkan rangka kawal selia bagi aset tokenisasi.

Sebagai langkah awal, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara yang menghimpunkan pakar industri, akademia dan agensi kerajaan.

Pasukan itu akan merangka strategi yang lebih kukuh dan praktikal untuk pembangunan teknologi ‘blockchain’ di Malaysia.

“Pasukan kerja ini akan memacu usaha merangka dasar dan hala tuju ‘blockchain’ negara secara holistik dan inklusif,” katanya lagi.

Gobind turut menjelaskan bahawa tumpuan utama kerajaan adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi ‘blockchain’ merentasi sektor kerajaan, industri dan masyarakat.

Aplikasi teknologi ini bukan sahaja terhad kepada kripto, malah meliputi bidang seperti keselamatan data, kesihatan, pendidikan, pentadbiran dan pasaran modal.

Dalam usaha membina ekosistem yang mampan, kerajaan turut menyasarkan pembangunan bakat tempatan yang mampu mengisi peluang pekerjaan baharu dalam sektor ‘blockchain’, sekali gus melahirkan generasi pakar teknologi masa depan.

Menyentuh aspek tokenisasi aset, Gobind menekankan kepentingan rangka kawal selia yang mantap bagi menjamin keselamatan dan ketelusan transaksi digital serta meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa.

“Pengaplikasian teknologi ‘blockchain’ menerusi tokenisasi akan diteliti khususnya dalam aspek pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi dan kestabilan ekosistem digital,” ujarnya.

Ketika ini, kerajaan sedang membangunkan rangka kerja kawal selia tokenisasi aset secara bersepadu bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Langkah itu dilihat sebagai pemangkin kepada kemasukan pemain industri global dan pelaburan teknologi berimpak tinggi ke Malaysia.

Dengan peralihan fokus negara ke arah ekonomi digital, inisiatif ini dijangka membuka ruang baharu kepada inovasi, pelaburan dan pembangunan teknologi masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat