Kerajaan Teliti Penyasaran Subsidi Gula, Beras Dan Minyak Masak Secara Berfasa

PARLIMEN | Kerajaan kini sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi secara berfasa bagi barangan keperluan asas seperti gula, beras dan minyak masak sebagai langkah susulan selepas kejayaan pelaksanaan subsidi bahan api melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan bantuan yang disalurkan lebih bersasar, berkesan dan bebas daripada ketirisan.

“Kerajaan sedang meneliti penyasaran semula subsidi dan bantuan bagi barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan subsidi diesel dan BUDI95 menjadi bukti bahawa pendekatan penyasaran mampu memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan menerima manfaat.

“Langkah ini bertujuan memastikan tiada ketirisan berlaku serta subsidi hanya dinikmati mereka yang benar-benar memerlukannya seperti pelaksanaan untuk subsidi diesel dan juga BUDI95,” katanya.

Tambahnya lagi, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api berjalan lancar sebelum diperluaskan ke sektor lain.

“Buat masa ini, fokus kerajaan adalah memastikan kelancaran penyasaran subsidi diesel dan BUDI95 sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada penyasaran subsidi akan diperluaskan kepada barangan lain.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan turut mempertingkat pemantauan bagi memastikan barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi penguat kuasa menerusi Ops Tiris dan Kita Gempur, selain memastikan bekalan barangan bersubsidi tersedia di setiap lokasi Program Jualan Rahmah MADANI.

“Kerajaan memperkukuh langkah penguatkuasaan bersama agensi berkaitan melalui Ops Tiris dan Kita Gempur, selain memastikan ketersediaan barangan bersubsidi di setiap Program Jualan Rahmah MADANI,” katanya.

Program Jualan Rahmah MADANI juga akan diperluas pada tahun 2025, dengan pelaksanaan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding pelaksanaan mengikut kawasan Parlimen sebelum ini.

Menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN–Kapar) mengenai kawalan perbelanjaan kerajaan dan keberkesanan subsidi, Hui Ying menjelaskan bahawa penstrukturan semula subsidi sedang berjalan melibatkan diesel, RON95 dan elektrik.

Beliau turut memaklumkan bahawa manfaat BUDI95 kini diperluaskan kepada 17,900 nelayan berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), 4,300 pemilik bot persendirian di Sabah dan 1,400 di Sarawak.

Selain itu katanya, sebanyak 121,618 syarikat melibatkan 355,074 kenderaan telah diluluskan penggunaan fleet card bagi menikmati subsidi diesel BUDI MADANI pada kadar RM2.15 seliter.

Anda Mungkin Berminat