PM Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Calon SPM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada lebih 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memulakan peperiksaan penting itu pada Isnin.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menyifatkan detik menduduki SPM sebagai saat yang bakal menterjemahkan segala usaha, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.

“Inilah saat untuk menterjemahkan segala usaha, pengorbanan, setiap malam tanpa lena dan tiap doa yang tidak pernah putus selama ini,” katanya.

Beliau turut menyeru para calon agar kekal tenang, yakin dengan kemampuan diri dan tidak lupa untuk terus berdoa.

“Insya-Allah, doa ibu bapa, guru serta seluruh rakyat Malaysia turut bersama mengiringi langkah kalian,” ujarnya.

Dalam nada penuh harapan, Perdana Menteri mendoakan agar segala urusan para pelajar dipermudahkan dan diberkati serta mereka memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Moga setiap usaha diberkati, setiap langkah dipermudah dan anda semua memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Terdahulu, seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025 di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.

Bagi memastikan kelancaran proses, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melantik seramai 127,526 petugas yang akan bertugas sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Anda Mungkin Berminat