PELABUHAN KLANG: Seramai 32 pekerja sebuah kilang di sini ditahan dalam satu operasi khas selepas disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad milik individu lain untuk tujuan pekerjaan.
Penahanan itu dibuat dalam Operasi Op Litar yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, dengan kerjasama JPN Selangor dan Jabatan Imigresen Selangor.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Salmi Kiprawi, operasi dijalankan secara terancang bagi membanteras kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri yang semakin membimbangkan.
“Penyalahgunaan kad pengenalan adalah kesalahan serius yang menjejaskan kepentingan awam serta boleh mengancam keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 48 tahun dan dipercayai memperoleh dokumen palsu tersebut melalui rangkaian tertentu yang dipercayai beroperasi secara terancang.
“Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang membekalkan kad pengenalan palsu dan kad milik orang lain kepada warga asing untuk tujuan pekerjaan.
“Pihak kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung status kemasukan dan permit kerja kesemua individu terbabit.
“Kami akan semak aspek imigresen bagi mengenal pasti bagaimana mereka boleh bekerja di premis tersebut tanpa dokumen sah,” katanya lagi.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Salmi turut menekankan bahawa kerjasama orang awam amat penting dalam mengekang jenayah identiti yang boleh menggugat keselamatan dan integriti sistem pendaftaran negara.
“Kami menyeru masyarakat supaya melaporkan segera jika mengetahui berlaku penyalahgunaan kad pengenalan di tempat kerja atau komuniti,” ujarnya.








