Kemenangan Zohran Mamdani mesej jelas warga New York

PETALING JAYA: Zohran Mamdani mencipta sejarah apabila menang pilihan raya Datuk Bandar New York City, menandakan kemunculan generasi muda yang berani membawa suara keadilan dan kemanusiaan ke pentas politik antarabangsa.

Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kemenangan Mamdani bukan sekadar peralihan kuasa politik, tetapi satu mesej jelas rakyat New York menolak penindasan dan politik kebencian.

“Rakyat New York telah memilih keberanian, integriti dan kemanusiaan. Mereka memilih seorang pemimpin muda yang lantang membela rakyat Palestin walaupun pendiriannya mungkin tidak digemari pelobi besar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan bahawa semangat perubahan ini mengimbau gesaan Ali Khameini kepada pelajar Amerika dan Eropah untuk menentang kezaliman.

“Zohran bukan hanya menang dalam pilihan raya, tetapi menang di hati manusia yang cintakan keadilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu berharap Mamdani akan terus mendapat bimbingan tokoh progresif seperti Senator Bernie Sanders dalam menghadapi tekanan pelobi antarabangsa.

“Semoga Datuk Bandar Zohran Mamdani terus diberi kekuatan untuk memimpin dengan amanah, berprinsip dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Kemenangan Mamdani turut mendapat perhatian warganet Malaysia yang melahirkan rasa bangga dan terinspirasi, termasuk pujian kepada Mohamad Sabu sebagai pencetus kesedaran dan sokongan terhadap kemenangan Mamdani.

Baca jug:

Anda Mungkin Berminat