KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi tampil mempertahankan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan susulan pertikaman lidah antara beliau dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Rakyat semalam.
Puad menegaskan bahawa Ahmad Maslan bertindak betul apabila enggan menjawab secara panjang lebar permintaan daripada blok pembangkang semasa sesi perbahasan Belanjawan 2026.
“Saya setuju dengan jawapan dan tindakan Ahmad Maslan di Parlimen. Buat apa jawab? Minta berjela-jela tetapi bajet 2026 mereka tolak,” katanya.
Puad turut mempersoalkan tindakan Shahidan yang meninggikan suara terhadap Ahmad Maslan dengan menjerit, “Otak kamu, Timbalan Menteri. Kamu Timbalan Menteri rakyat Malaysia. Bukan Timbalan Menteri parti kamu.”
Menurut Puad, kenyataan Shahidan itu tidak wajar kerana setiap wakil rakyat termasuk daripada pembangkang juga bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing, bukan semata-mata kepada parti politik.
“Samalah, Shahidan bukanlah wakil rakyat kepada partinya. Tetapi wakil rakyat kepada rakyat di kawasannya. Tidak wajar tolak bajet ‘in blanket’,” tegasnya.
Beliau menyindir sikap pembangkang yang menurutnya hanya akan menyokong bajet apabila ada kepentingan sendiri.
“Pembangkang hanya sokong bajet kalau elaun mereka dinaikkan,” sindir Puad lagi.
Dalam pada itu, Puad menyeru ahli Parlimen pembangkang mencontohi barisan “pengimbang” di Dewan Negeri Johor yang disifatkannya lebih rasional dan tidak menggunakan bahasa kesat dalam perbahasan.
Semalam di Dewan Rakyat, Ahmad Maslan menegur Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menyokong Belanjawan 2026, namun dalam masa sama tetap meminta pelbagai bantuan daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai rancangan menaik taraf infrastruktur jalan raya yang didakwa banyak bermasalah.








