Agong Disambut Penuh Istiadat Di Istana Sakhir, Bahrain

BAHRAIN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima sambutan negara penuh istiadat di Istana Sakhir, Zallaq sempena lawatan negara Baginda ke Bahrain.

Ketibaan Seri Paduka di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain disambut sendiri oleh Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, menandakan hubungan akrab serta penghormatan tinggi kerajaan Bahrain terhadap Malaysia.

Sebaik tiba di Istana Sakhir, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong disambut meriah dengan kibaran bendera kedua-dua negara oleh murid sekolah, sebelum dipersembahkan tarian tradisi ‘Ardah’.

Baginda berdua kemudian menuju ke Podium Kehormatan dengan diiringi 21 das tembakan meriam, sebelum lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Bahrain dimainkan.

“Sambutan penuh istiadat ini mencerminkan hubungan erat serta rasa hormat antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan Istana Negara pada Jumaat.

Selesai majlis sambutan, berlangsung pertemuan rasmi antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Bahrain, membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama strategik.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan penghormatan di Tugu Peringatan Syuhada (Martyr’s Memorial Monument), termasuk menyedekahkan Al-Fatihah dan menyiram air mawar sebagai simbol penghormatan kepada para pahlawan Bahrain.

“Baginda menzahirkan penghargaan atas pengorbanan syuhada negara berkenaan,” ujar kenyataan itu lagi.

Lawatan negara ini dijangka memperkukuh kerjasama Malaysia–Bahrain, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan pertukaran budaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat