Malaysia perlu generasi ‘Guiding Ideas’ bukan pemikir jumud – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar lahirnya generasi muda yang memiliki “guiding ideas” iaitu pemikiran pendorong berasaskan ilmu, nilai, akhlak dan kemanusiaan bagi membina masa depan negara yang bermaruah dan progresif.

Berucap pada Majlis Penutup Festival Idea, Anwar menegaskan bahawa negara tidak akan maju hanya dengan percambahan idea semata-mata sekiranya pemikiran masih terikat kepada cara lama, jumud dan bersifat menghina kaum atau kelompok lain.

“Idea yang kita mahu bukan sekadar lontaran kata, tetapi idea pendorong ‘guiding ideas’ yang membawa perubahan, membina keadilan dan memuliakan kemanusiaan,” katanya pada Jumaat.

Menurut Anwar, pendidikan dan ilmu mesti melahirkan keberanian untuk berfikir, namun berpaksikan nilai dan akhlak agar tidak terpesong daripada kebenaran serta adab.

“Ramai yang belajar, ramai yang punya ilmu, tetapi masih ada yang terperangkap dengan pemikiran usang. Guiding ideas ini mesti bertunjangkan nilai, etika dan akhlak.

“Walaupun Malaysia telah merdeka lebih enam dekad,pemikiran masyarakat masih ada yang terjajah, sama ada terlalu bergantung kepada acuan luar atau merendah-rendahkan kemampuan bangsa sendiri.

“Kita sudah merdeka sebagai negara, tetapi belum merdeka sepenuhnya dari segi idea. Jangan biarkan pemikiran kita terus dijajah hingga hilang keberanian untuk membina acuan sendiri,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan idea bukan alasan untuk mengaibkan, merendahkan atau memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum.

“Kebebasan idea bukan lesen untuk memfitnah atau merendahkan orang lain. Idea yang kita dukung ialah idea yang mengangkat martabat manusia, bukan memecah-belahkan,” katanya.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa generasi muda Malaysia mampu muncul sebagai pemikir besar yang membawa sinar baharu jika berani berfikir, berjiwa merdeka dan teguh pada prinsip kebenaran serta keadilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat