KOTA KINABALU: Kekuatan Malaysia bergantung kepada kesatuan dan tekad rakyat dalam memajukan ekonomi serta menjamin kesejahteraan bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di hadapan Persatuan Industri Sabah.
Dalam pertemuan yang berlangsung di ibu negeri Sabah itu, Anwar menyeru agar semua pihak menolak sikap mementingkan diri dan sebaliknya berganding bahu demi mengangkat martabat negeri dan negara di persada dunia.
“Bukan soal kita kecil atau besar atau siapa lebih bising atau lebih hero tetapi bagaimana kita bersama mengangkat martabat negeri dan negara agar terus dihormati di pentas dunia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perjuangan membangunkan negara adalah lebih besar daripada mana-mana individu dan memerlukan kerjasama erat antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
“Lantaran itu, Sabah dan Kerajaan Persekutuan mesti bergerak sederap; membuka peluang, menjamin serta menambah pekerjaan, tingkatkan pelaburan dan pastikan anak-anak kita menikmati masa depan yang lebih cerah,” ujar Anwar.
Perdana Menteri turut menggariskan empat fokus utama pentadbiran beliau iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan masa depan rakyat sebagai asas kepada pembangunan inklusif dan berdaya saing.
“Fokus kita jelas iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan masa depan rakyat,” katanya lagi.
Majlis malam itu turut dihadiri oleh pemimpin industri, wakil kerajaan negeri dan para usahawan tempatan, yang menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk memperkukuh kerjasama dan memperluas peluang pelaburan di Sabah.








