PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh integriti demokrasi di Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah melancarkan Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 yang akan beroperasi sepanjang tempoh pilihan raya.
Bilik gerakan itu mula beroperasi hari ini, 10 November dan akan dibuka 24 jam sehari sehingga 5 Disember 2025.
Ia diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang tempoh kempen dan pengundian.
Menurut kenyataan SPRM, operasi bilik gerakan melibatkan lima pejabat utama di seluruh negeri iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.
“SPRM menyeru semua pihak termasuk calon, parti politik dan penyokong agar mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa,” kata agensi itu dalam satu kenyataan rasmi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku ketika kempen berlangsung digalakkan untuk menghubungi pejabat SPRM terdekat atau menyalurkan aduan melalui e-mel rasmi di [email protected].
Selain itu, mereka juga boleh hadir secara fizikal ke mana-mana pejabat SPRM untuk mendapatkan khidmat nasihat atau membuat laporan secara terus.
SPRM turut mengingatkan bahawa semua aktiviti berkaitan pilihan raya perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012) bagi memastikan proses demokrasi berjalan secara telus, adil dan bebas daripada pengaruh tidak wajar.
Langkah proaktif ini bukan sahaja memperkukuh pemantauan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, malah mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan pilihan raya berlangsung dalam suasana bersih dan berintegriti.
Seperti pilihan raya sebelum ini, SPRM konsisten membuka bilik gerakan khas di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menegakkan prinsip demokrasi yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.








