Pelajar Tingkatan Enam Diangkat Sebagai Pemimpin Muda Pendidikan Negara

PETALING JAYA: Sejarah tercipta apabila Konvensyen Suara Masa Hadapan 2025 buat pertama kalinya menghimpunkan perwakilan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh negara, dalam satu usaha berani memperkasa suara dan kepimpinan pelajar di peringkat kebangsaan.

Bertemakan ‘Dari Suara Pelajar ke Dasar Pendidikan’, konvensyen itu menjadi medan penting bagi pelajar menyuarakan pandangan dan idea terhadap pembangunan dasar pendidikan negara.

Ia bukan sekadar sesi dialog tetapi satu pengiktirafan terhadap peranan pelajar sebagai agen perubahan dalam ekosistem pendidikan.

Dalam majlis yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengumumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam (JPTE) Peringkat Kebangsaan.

Nadiy dan Nur Adrianna dipilih sebagai Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua, menandakan permulaan era baharu kepimpinan pelajar yang lebih inklusif dan berwibawa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, suara pelajar Tingkatan Enam perlu terus diraikan dan didengari

“Anak-anak Tingkatan Enam bukan sekadar pelajar di bilik darjah tetapi pemimpin muda yang mampu memberi impak positif kepada masa depan pendidikan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebagai respons langsung kepada aspirasi pelajar, beliau turut mengumumkan penganjuran Karnival Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum Pelajar Lepasan Menengah bermula tahun hadapan.

Karnival itu bukan sahaja membuka ruang ekspresi dan bakat, malah menawarkan peluang pelajar memperoleh markah PAJSK di peringkat negeri dan kebangsaan.

Fadhlina turut memberi komitmen bahawa konvensyen itu akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang sebagai platform dialog dan kolaborasi antara pelajar dan KPM, satu langkah strategik untuk memperkukuh peranan Tingkatan Enam dalam sistem pendidikan negara.

Anda Mungkin Berminat