Kerajaan Pilih Rundingan Segera, Tidak Buat Rayuan Pemberian Khas 40 Peratus Sabah

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berhemah dengan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sebaliknya memilih untuk memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan media pada Selasa yang berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah diadakan pada 11 November 2025 bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia,” katanya.

Walaupun rayuan terhadap keputusan utama tidak akan dibuat, AGC menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan tetap merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman yang dikemukakan oleh mahkamah.

Menurut AGC, antara dakwaan dalam Alasan Penghakiman ialah bahawa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974,” kata kenyataan itu.

Selain itu katanya, Alasan Penghakiman turut menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional dan terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.

“Terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut,” katanya.

AGC turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan tersebut sebagai langkah untuk memastikan proses rundingan yang bakal dimulakan kelak dapat dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang.

Anda Mungkin Berminat