Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seluruh penjawat awam diseru untuk melaksanakan segala tanggungjawab dan tugasan dengan penuh empati dan keprihatinan terhadap rakyat selaras dengan misi dan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan pembangunan manusia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan suatu negara tidak hanya bergantung kepada keberadaan teknologi atau industri semata-mata, ianya mesti disertai dengan nilai kemanusian, keadilan dan ketakwaan seperti yang ditekankan dalam konsep Madani.
“Dan ini sebenarnya yang dirangkul dalam konsep Madani, Pembangunan itu diperlukan, kalau kita mahu maju maka semua teknologi harus sesuaikan, jaga persekitarannya,
“Dalam menjana pelbagai pertumbuhan dalam pelbagai bidang, kita selalu kena ingatkan, kerosakan boleh berlaku apabila kita abaikan nilai manusiawi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Simposium Pembangunan dan Anugerah dan Pembangunan Negara 2025 di Putrajaya pada Selasa.

Tegas beliau, pembangunan negara yang sebenar adalah pembangunan insan, yang menuntut setiap penjawat awam mempunyai rasa empati terhadap golongan berpendapatan rendah dan masyarakat di akar umbi.
“Bermakna ada empati, keprihatinan terhadap golongan yang paling rendah. Darjatnya dari segi duniawi dan kebenaran yang mampu kita tambah.
“Tetapi jangan ditinggalkan aspek nilai. Maka seperti Kampung Angkat Madani, Sekolah madani, Sejati Madani.
“Sentuhan Madani itu datang mengingatkan satu kerangka. Dan ia tidak semestinya yang baharu… Tetapi apabila ada rencana yang lebih tersusun, sistematik dan kita dapat meneliti masalah itu dari akar umbi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh penjawat awam atas prestasi ekonomi semasa negara kian menunjukkan kemajuan yang membanggakan.
“Malaysia bukan negara besar ekonominya, tetapi kita telah mencapai sesuatu yang luar biasa kerana keamanan, kestabilan politik, kerjasama berpasukan antara pimpinan politik dan penjawat awam, serta keberkesanan pelaksanaan dasar,” katanya.
Baca juga:








