PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkukuh kerjasama strategik bagi mempercepat transformasi industri melalui penggunaan teknologi 5G.
Inisiatif itu dilancarkan menerusi segmen ‘Powering Smart Industries’ sempena MIDA Flagship Investment Seminar: The Industrial Cluster Development Initiative for the Central Region yang berlangsung dari 11 hingga 12 November di Kuala Lumpur.
Menurut MCMC, seminar tersebut menghimpunkan pemimpin industri, ahli perniagaan dan agensi kerajaan bagi merangka pelan pembangunan sektor teknologi tinggi di wilayah utama seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka iaitu kawasan yang menyumbang hampir separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Kerjasama ini penting dalam memperkukuh daya saing industri dan mempercepat penggunaan 5G bagi mendorong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Usaha tersebut adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 4 Julai 2024 bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap penggunaan 5G dalam kalangan sektor industri serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Bagi memperkukuh inisiatif ini, MCMC bersama penyedia rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL, turut menganjurkan ‘5G Technology Showcase’ dan ‘Enterprise 5G Business Clinic’ yang menampilkan aplikasi praktikal teknologi pintar dalam pembuatan dan analitik masa nyata.
Selain itu, MCMC turut mengetengahkan pelbagai program seperti NEXUS, PRIME, NXT, Check Your Label dan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi mempertingkat kesedaran dan libat urus industri melalui platform pameran interaktif.
Melalui kolaborasi ini, MCMC dan MIDA menegaskan komitmen untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital berasaskan 5G serta memastikan sektor industri kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
Baca juga:








