PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras terhadap peningkatan kes rakyat Malaysia dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket antarabangsa.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dari Januari hingga September tahun ini atas kesalahan berkaitan penyeludupan dadah. Daripada jumlah itu, 50 adalah lelaki dan lima perempuan.
“Kes penahanan melibatkan beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Taiwan, Belgium, Thailand dan beberapa negara Eropah. Sindiket kini semakin licik dan berani memanipulasi mangsa dengan pelbagai cara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sindiket berkenaan sering merekrut mangsa melalui media sosial, tawaran kerja palsu serta perjalanan ditaja. Golongan belia, pencari kerja dan individu berpendapatan rendah menjadi sasaran utama dengan janji bayaran antara RM1,000 hingga RM10,000.
JSJN mendapati modus operandi sindiket semakin canggih dengan menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, makanan, peralatan elektronik dan malah menggunakan perkhidmatan kurier. Kaedah ‘body packing’ juga masih dikesan di beberapa laluan antarabangsa.
“Sindiket ini tidak mengenal mangsa. Mereka sanggup memperdaya sesiapa sahaja untuk mengangkut dadah tanpa sedar, dan alasan tidak tahu isi kandungan bagasi tidak diterima oleh kebanyakan negara,” tegas Hussein lagi.
JSJN menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dan melaporkan sebarang tawaran mencurigakan kepada pihak berkuasa. Tindakan segera mampu menyelamatkan mangsa daripada menjadi korban undang-undang dadah yang ketat di luar negara.
Untuk rekod, antara jenis dadah yang sering diseludup oleh ‘keldai dadah’ ialah syabu, kokain, ganja dan pil ekstasi. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada talian hotline JSJN di 012-208 7222 bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah di negara ini.
Baca juga:








