PUTRAJAYA: Kadar pertumbuhan penduduk Malaysia mencatatkan peningkatan perlahan sebanyak 0.5 peratus pada suku ketiga 2025, seiring dengan penurunan kelahiran hidup sebanyak 7.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk dianggarkan 34.3 juta berbanding 34.1 juta pada suku ketiga 2024, dengan komposisi warganegara meningkat kepada 90.1 peratus.
“Penduduk lelaki kini mencecah 18 juta, manakala perempuan 16.3 juta. Komposisi penduduk tua juga meningkat kepada 8.0 peratus, menunjukkan trend penuaan yang semakin ketara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, bilangan kelahiran hidup menurun kepada 95,469 kelahiran berbanding 103,594 pada tempoh sama tahun lalu, dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 18,019 kelahiran.
“Secara purata, satu bayi dilahirkan setiap minit di Malaysia. Ibu berumur 30 hingga 39 tahun kekal mencatatkan kadar kelahiran tertinggi,” katanya sambil menambah bahawa etnik Melayu menyumbang 69 peratus daripada keseluruhan kelahiran.

Sementara itu, sebanyak 46,643 kematian direkodkan, menurun 5.6 peratus berbanding suku ketiga 2024. Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 7,344 kes, manakala majoriti kematian melibatkan individu berumur 60 tahun ke atas.
Mohd Uzir menjelaskan, trend penurunan kadar kelahiran bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan trend global yang menunjukkan kadar kesuburan di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita.
Katanya, beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand telah memperkenalkan insentif keluarga bagi menangani isu penuaan penduduk, dan Malaysia turut menilai dasar serupa bagi memastikan keseimbangan demografi dan tenaga kerja pada masa depan.
Malaysia mencatat sejarah apabila muncul negara pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, meningkat daripada tangga ke-67 pada 2022/23. Kejayaan ini didorong oleh platform OpenDOSM NextGen yang memudahkan akses dan analisis data di portal https://open.dosm.gov.my.
Baca juga:








