JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menegaskan komitmennya untuk bekerjasama secara erat dan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu pembangunan yang memberi kesan langsung kepada rakyat serta kemajuan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semangat muafakat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan negara turut mengambil kira kedudukan strategik Johor sebagai pintu masuk utama dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi nasional.
“Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemajuan negara serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara adil dan menyeluruh oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu hadir susulan kebimbangan yang dizahirkan oleh Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berhubung isu kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku apabila projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura mula beroperasi kelak.
Baginda bertitah, tiada penyelesaian menyeluruh disediakan setakat ini bagi menampung peningkatan trafik termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat di kawasan Bukit Chagar.
Selain isu pengangkutan, Tunku Mahkota Ismail turut menekankan keperluan mendesak untuk menyegerakan beberapa projek kesihatan utama seperti Hospital Pasir Gudang, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2), agar Johor tidak terus diketepikan dalam pelaksanaan pembangunan di peringkat Persekutuan.








