Isu Air Felda Redong Tamat Penantian Sedekad

SEGAMAT: Selepas lebih 10 tahun bergelut dengan gangguan bekalan air, penduduk Felda Redong akhirnya boleh menarik nafas lega apabila projek penggantian paip utama diumumkan dalam Belanjawan Negeri Johor 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan pengumuman itu sebagai satu kemenangan besar buat rakyat yang sekian lama menanti penyelesaian tuntas terhadap isu bekalan air yang berlarutan.

“Alhamdulillah, selepas hampir tiga tahun usaha berterusan, akhirnya isu air di Felda Redong mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas komitmen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zaliha, yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, perjuangan untuk menyelesaikan masalah itu telah menjadi keutamaannya sejak memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, pelbagai sesi libat urus telah diadakan sejak Disember 2022 termasuk pertemuan bersama agensi berkaitan pada Februari 2023, sesi ‘townhall’ bersama penduduk pada Jun 2024 serta semakan kemajuan projek bersama Ranhill SAJ dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada Julai lalu.

“Ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk warga Felda Redong yang terus memberi kepercayaan kepada kami sepanjang proses ini,” katanya.

Beliau berkata, projek penggantian paip utama itu akan dipantau secara dekat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

Isu bekalan air di Felda Redong telah menghantui penduduk selama lebih sedekad, memaksa mereka bergantung kepada lori tangki untuk keperluan harian.

Namun, selepas PRU15, usaha penyelesaian mula digerakkan secara serius apabila Dr Zaliha mengambil inisiatif menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.

Anda Mungkin Berminat