KOTA KINABALU: PKR Sabah menempelak Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang didakwa cuba meletakkan kesalahan kepada pihak lain, khususnya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berhubung keputusan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri, berkata tindakan Ewon yang menuding jari kepada pihak lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan sikap tidak konsisten serta menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan sebenar keputusan itu.
“Jika Datuk Ewon benar-benar hilang kepercayaan terhadap kepimpinan atau dasar PH, beliau sepatutnya membuat pendirian itu lebih awal, bukan selepas menjadi menteri penjaga di penghujung tempoh perkhidmatan,” katanya.

Menurut Ahmad Farid, alasan yang digunakan untuk menyalahkan Nurul Izzah adalah lemah dan tidak berasas kerana pemimpin itu sentiasa menunjukkan komitmen terhadap agenda pembangunan Sabah melalui semangat tadbir urus bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kalau mahu mencari alasan, biarlah yang munasabah dan boleh dipercayai. Menyalahkan individu lain bagi menutup kelemahan strategi parti bukanlah sifat seorang pemimpin matang,” katanya lagi.
Keadilan Sabah turut menegaskan bahawa sebarang ketidakpuasan terhadap dasar bersama dalam PH seharusnya diselesaikan melalui rundingan dalaman, bukan kenyataan terbuka yang berbaur politik menjelang pilihan raya.
“Pakatan Harapan kekal fokus terhadap agenda pembangunan Sabah dan akan terus memperjuangkan kerjasama berteraskan prinsip kejujuran, tanggungjawab bersama dan kestabilan politik,” tambah kenyataan itu.
Baca juga:








