UMNO Sambut Baik Belanjawan Johor 2026, Manfaatkan Hasil Negeri Demi Rakyat

JOHOR BAHRU: UMNO Bahagian Johor Bahru menyambut baik Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bertemakan Bangsa Johor Sejahtera.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar, belanjawan ini dianggap bukti kerajaan negeri cakna dan komited mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.

“Belanjawan ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mendengar suara rakyat dan bertindak demi kesejahteraan mereka.”

“Bagi kawasan Johor Bahru, belanjawan memperuntukkan pelbagai manfaat termasuk pemerkasaan sistem kesihatan daerah melalui pendigitalan perkhidmatan, penambahan doktor, penyediaan peralatan baharu serta penghantaran ubat melalui pos” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, mobiliti bandar turut ditingkatkan melalui perkhidmatan shuttle percuma ke Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Zoo Johor, Stadium Sultan Ibrahim serta kesinambungan Bas Muafakat Johor.

Keselamatan bandar turut dipertingkatkan dengan pemasangan CCTV baharu dan Transformasi Bandaraya Johor Bahru, manakala kebajikan rakyat diperluas melalui Bantuan Kasih Johor serta program menangani kos sara hidup seperti Jualan Kasih dan Dapur Kasih.

“Kami komited memastikan setiap inisiatif dilaksanakan berkesan agar manfaatnya sampai kepada rakyat secara menyeluruh.”

“Belanjawan ini juga memberi tumpuan kepada agenda perumahan dengan pembinaan 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johor serta bantuan sewa, bantuan rumah pertama dan bantuan masuk rumah” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat