Malaysia, China Tandatangani Protokol Baharu Eksport Sarang Burung Boleh Dimakan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China melakar pencapaian penting dalam kerjasama perdagangan apabila menandatangani protokol baharu bagi eksport Sarang Burung Boleh Dimakan (EBN), menggantikan perjanjian sedia ada.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, protokol itu mengiktiraf sistem kawalan kualiti Malaysia termasuk MyWalet dan dijangka memberi limpahan manfaat kepada industri EBN yang mencatat nilai eksport sekitar RM2 bilion setahun.

“Industri EBN kita bakal menerima manfaat melalui pasaran China yang terus berkembang,” kata beliau dalam kenyataan di laman Facebook, pada Jumaat.

Mohamad Sabu kini berada di Chongqing untuk menghadiri The 9th China-ASEAN Ministerial Meeting on Sanitary and Phytosanitary (SPS) bersama delegasi Malaysia, sebagai sebahagian lawatan kerja memperkukuh kerjasama keselamatan makanan, kesihatan haiwan dan kesihatan tumbuhan antara ASEAN dan China.

Beliau berkata permintaan pasaran China, termasuk dalam kalangan pengguna Muslim, semakin meningkat, disokong reputasi positif produk Malaysia yang sinonim dengan standard halal dan kualiti tinggi.

“Bang Mat mengajak para pengusaha, petani, penternak dan usahawan halal untuk bersedia merebut peluang ini,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang semakin kukuh ini dijangka terus memberi manfaat kepada rakyat dan mengangkat sektor agromakanan negara ke tahap lebih tinggi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat