ASGG Gluta Genc Glow Gummies Langgar Peraturan Makanan 1985 – KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan bahawa keselamatan produk makanan di pasaran sentiasa dipantau bagi melindungi pengguna.

Dalam pemantauan terbaharu, KKM mendapati produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies mengandungi bahan aktif Glutathione yang tidak tersenarai di bawah peraturan dibenarkan, sekali gus melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Susulan itu, produk berkenaan tidak boleh dijual atau diiklankan.

“Keselamatan makanan adalah keutamaan kami. Semua produk di pasaran sentiasa dipantau untuk memastikan ia selamat untuk pengguna.

“Semakan mendapati produk tersebut dipasarkan melalui beberapa platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Sehingga 10 November, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan telah dikemukakan kepada penyedia platform,” kata kementerian itu.

KKM turut mengingatkan bahawa di bawah Seksyen 13B(2)(d), Akta Makanan 1983, penggunaan bahan tidak dibenarkan dalam makanan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Peniaga dikehendaki menghentikan penjualan serta-merta dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tujuan penyitaan produk yang tidak mematuhi undang-undang,” tegas KKM.

Sehubungan itu, pengguna yang sedang mengambil produk berkenaan dinasihatkan supaya menghentikan penggunaan serta-merta dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan.

Anda Mungkin Berminat