KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan meneliti secara dekat isu kebajikan serta kadar pendapatan pengamal media di Sabah.
Pada hari kedua lawatannya, beliau bertemu lebih 50 wartawan dari Sabah dan Semenanjung, mendengar sendiri luahan mengenai gaji rendah termasuk wartawan berpengalaman hampir sedekad tetapi masih menerima gaji minimum.
“Keadaan ini tidak harus berlarutan. Kita akan mencari pendekatan yang sesuai untuk menjaga kebajikan pengamal media di Sabah dan seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Anwar turut menekankan peranan kritikal media dalam menangani maklumat palsu dan fitnah, selain mengingatkan kepentingan kewartawanan beretika dan berimbang sebagai benteng kebenaran.
“Dedikasi dan sumbangan kalian sangat dihargai.
“Terima kasih atas usaha menegakkan pelaporan jujur, profesional dan bertanggungjawab,” tambah beliau.








