RM2 Bilion Diperuntuk Tingkat Internet Di Sabah – PM

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperluas liputan internet di Sabah, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan digital di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana tersebut akan memberi keutamaan kepada kolej, universiti awam dan swasta serta pejabat kerajaan.

Anwar mengakui inisiatif itu memerlukan masa untuk dilaksanakan, namun menegaskan komitmen kerajaan terhadap akses internet yang lebih baik.

“Langkah ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau mengesahkan peruntukan itu ketika menghadiri sesi sarapan dan Sembang Santai bersama pengamal media Sabah pada Ahad.

“Saya sudah umumkan dalam Belanjawan. Ia akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan,” katanya.

Sabah kini menyaksikan peningkatan pesat dalam infrastruktur digital susulan projek MADANI Submarine Cable Connection (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Di bawah program Jaringan Digital Nasional (JENDELA), liputan 4G di Sabah melonjak kepada 96.81 peratus sejak 2022 berbanding hanya 73.41 peratus sebelum ini.

Seramai 877,500 penduduk turut menikmati akses mudah alih yang lebih baik hasil usaha tersebut.

Anda Mungkin Berminat