TENOM: Suasana mesra dan penuh semangat di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Melalap, menjadi penutup bermakna kepada lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah, apabila beliau disambut oleh penduduk setempat dalam pertemuan santai bersama masyarakat.
Dalam hantaran di Facebook pada Ahad, Anwar meluahkan rasa terharu dengan sambutan yang diterima, sambil berkata, kerajaan yang mampu bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan adalah kunci kepada pembangunan menyeluruh yang dapat dinikmati rakyat.
“Sejak Kerajaan Madani memimpin, rakyat Sabah sendiri sudah dapat merasai perubahan melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa fokus utama kerajaan kini ialah memperkukuh kesalinghubungan digital di Sabah melalui program JENDELA.
“Fokus utama kerajaan ialah meningkatkan kesalinghubungan di Sabah melalui program JENDELA termasuk memperluas liputan 4G dan 5G, mempergiat pembinaan menara komunikasi baharu, menaik taraf stesen pemancar, serta menyediakan jalur lebar satelit di kawasan yang memerlukan,” katanya.
Anwar turut menyatakan bahawa ‘urang Sabah’ berhak menikmati akses internet yang lebih berkualiti, bukan sahaja untuk pendidikan tetapi juga bagi mempertingkat kecekapan perkhidmatan kerajaan.








