Laluan Genting Highlands: Jangan Guna Istilah ‘Tol’ Tapi ‘Caj Kenderaan’ – Menteri

PARLIMEN | Cadangan mengenakan caj di laluan persendirian menuju ke Genting Highlands perlu difahami dengan jelas sebagai caj kenderaan dan bukan tol, selain tidak dikenakan kepada penduduk tempatan atau pemilik tanah di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, caj berkenaan sepatutnya hanya dikenakan kepada pengunjung yang datang untuk melancong di pusat peranginan itu.

Beliau berkata, Menteri Kerja Raya sebelum ini telah memaklumkan bahawa laluan tersebut adalah jalan persendirian dan tidak melibatkan Kerajaan Pusat.

“Ingin saya jelaskan bahawa Menteri Kerja Raya telah membuat kenyataan media antara lain perkara yang disebut ialah bahawa jalan itu jalan persendirian dan Kerajaan Pusat tiada kaitan dengan jalan persendirian itu.

“Yang ada kaitan ialah Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Bentong untuk memastikan bagaimanakah pelaksanaannya,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, menjawab celahan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi mengenai undang-undang berkaitan caj kenderaan di jalan persendirian.

Mengulas kekeliruan yang timbul, Ahmad meminta agar istilah tol tidak digunakan kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

“Pada pandangan kami perkataan tol harap jangan digunakan sebab dia mengelirukan dengan 33 konsesi tol yang ada di lebuhraya-lebuhraya.

“Oleh itu, saya kira mungkin boleh ditukar pada caj kenderaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak Genting Highlands agar meneliti kesan terhadap industri pelancongan sekiranya caj yang dikenakan terlalu tinggi.

“Apakah kesannya caj kenderaan itu kepada pihak Genting Highland? Saya kira jika mereka meletakkan harga yang tinggi, kuranglah pelancong datang ke tempat itu. Itu risiko yang perlu mereka ambil.

“Pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj ataupun bukan jalan persendirian,” ujarnya.

Ahmad berkata, pekerja dan pemilik tanah di kawasan tersebut tidak sepatutnya dikenakan caj dalam apa keadaan sekalipun.

“Pada pandangan saya secara peribadi, saya kira pekerja tidak perlulah dikenakan caj.

“Kemudian orang-orang yang memiliki tanah di situ bukan hanya dimiliki oleh Genting. Mungkin Genting telah menjual kepada pihak lain. Misalnya ada hotel-hotel yang dibina bukan oleh Genting. Saya kira perkara itu juga perlu dirundingkan oleh pihak mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kemudahan kerajaan seperti Institut Aminuddin Baki tidak wajar dikenakan caj.

“Kita ada Institut Aminuddin Baki di situ. Takkanlah mereka juga nak dikenakan caj. Jadi saya kira jalan Batang Kali ke situ yang laluan umum, saya kira tidak patut dikenakan caj,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat