Hakim Arah Muhyiddin Singkat Transit Di Dubai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan sementara bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan rawatan dan percutian keluarga.

Namun, mahkamah menolak hasrat beliau untuk transit sehingga enam hari di Dubai sebelum pulang ke Malaysia.

Hakim Noor Ruwena Nurdin berkata, tiada keperluan bagi transit yang begitu lama selepas meneliti afidavit yang dikemukakan.

“Saya tidak nampak sebarang justifikasi untuk transit lima hingga enam hari di Dubai.

“Transit satu atau dua hari sudah memadai,” katanya sambil meminta Muhyiddin memendekkan tempoh berkenaan.

Mahkamah turut menegur Muhyiddin kerana menempah tiket penerbangan tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan mahkamah.

Melalui keputusan itu, pasport Muhyiddin hanya boleh diambil pada 8 Disember dan perlu dikembalikan selewat-lewatnya pada 5 Januari 2026.

Muhyiddin dijadualkan berlepas ke London pada 15 Disember bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di Platinum Medical Centre, sebelum bercuti bersama keluarga di Madrid dari 20 Disember hingga 2 Januari.

Beliau kini berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan dana yang didakwa diterima ketika mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat dan Nuralis Mat.

Anda Mungkin Berminat