PUTRAJAYA: Malaysia melangkah ke era baharu dalam pengurusan kecemasan dengan pelancaran rasmi sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999), yang mula beroperasi sejak 16 November lalu.
Sistem itu menjanjikan perkhidmatan yang lebih pantas, tepat, moden dan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi (KK), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan lima agensi kecemasan utama negara iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
NG MERS 999 dilihat sebagai satu lonjakan besar dalam kecekapan respons kecemasan negara.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, pihak KKM, KK dan TM mengesahkan bahawa sistem ini telah diuji dan berfungsi seperti biasa termasuk dalam penyaluran kes menggunakan prinsip ‘nearest available’ bagi memastikan aset kecemasan terhampir digerakkan secepat mungkin.
“Walaupun insiden tersebut adalah terpencil, perkara ini ditangani secara serius dan dengan kadar segera kerana setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat,” tegas kenyataan itu.
Bagi memperkukuh respons di lapangan, KKM turut menambah bilangan ambulans, menyusun semula penugasan petugas di kawasan strategik serta menggerakkan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia dan NGO tempatan sebagai sebahagian daripada keupayaan respons kecemasan negara.
“Penilaian berterusan terhadap keupayaan koordinasi dan ketersediaan aset juga sedang dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, perkhidmatan panggilan suara 999 kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa.
Bagi pengguna yang memerlukan saluran komunikasi alternatif, aplikasi SaveME999 turut disediakan bagi membolehkan komunikasi melalui teks, video dan multimedia selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan dan keterangkuman sistem.
“TM akan terus memperkukuh keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999 termasuk perisian serta proses teknikal yang berkaitan bagi memastikan prestasi dan pengalaman operasi yang lebih lancar untuk semua agensi kecemasan,” kata kenyataan itu lagi.








