Kerjasama Malaysia-Ethiopia Berasaskan Kepercayaan, Kemanusiaan – Anwar

PETALING JAYA: Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Ethiopia tidak seharusnya dilihat sekadar angka atau kontrak tetapi mesti berakar pada kepercayaan, empati dan manfaat bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap di forum perniagaan bersama pelabur serta penggerak industri Ethiopia-Malaysia, beliau menekankan keperluan menjalin hubungan yang lebih berani dan bermakna dalam menghadapi dunia penuh ketidaktentuan.

“Dalam dunia ini, kita perlukan rakan yang teguh, jujur dan saling mendukung.

“Itu yang saya saksikan di sini, iaitu negara dengan sejarah, semangat dan masa depan yang luar biasa,” katanya.

Mengimbas sejarah penghijrahan awal umat Islam dari Mekah ke Habsyah yang mendapat perlindungan Raja Najashi, Anwar menekankan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kekuatan Ethiopia.

“Ethiopia membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak hanya pada kekuasaan tetapi pada kesanggupan melindungi dan memuliakan insan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Malaysia di Afrika adalah dengan hasrat membina jambatan yang adil, inklusif dan mampan.

Malaysia, katanya, membuka ruang kerjasama dalam pelaburan hijau, teknologi digital, pertanian moden, tenaga boleh baharu serta akses ke rantau ASEAN yang dinamik.

“Moga pertemuan hari ini menjadi pemangkin dan pemetaan baharu yang berpaksi pada kemanusiaan, diperkasa melalui inovasi, yang akhirnya menjanjikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sahabat,” katanya.

Forum tersebut menjadi wadah penting memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik Malaysia-Ethiopia selaras dengan semangat persahabatan serta kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat