Gangguan Teknikal Jejas Laluan Monorel Di Stesen Medan Tuanku

PETALING JAYA: Perkhidmatan Monorel Rapid KL terganggu pagi ini susulan insiden teknikal di Stesen Medan Tuanku, menyebabkan sebuah tren tidak dapat bergerak.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rapid Rail Sdn Bhd, insiden tersebut telah ditangani segera oleh Pegawai Transit yang berada di dalam tren dengan memindahkan semua penumpang ke stesen berhampiran secara selamat.

“Rapid Rail Sdn Bhd ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Laluan Monorel sedang mengalami gangguan sistem teknikal di Stesen Medan Tuanku.

“Namun begitu, Pegawai Transit yang berada di dalam tren telah berjaya memindahkan para penumpang ke stesen berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang, Rapid Rail telah mengaktifkan beberapa perkhidmatan alternatif.

Ini termasuk tren perantara antara KL Sentral dan Hang Tuah, tren perantara antara Hang Tuah dan Bukit Nanas serta bas perantara yang disediakan antara Titiwangsa dan Bukit Nanas.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dengan segera.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini telah berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin,” jelas kenyataan itu lagi.

Rapid Rail turut menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada laman sosial rasmi Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung status perkhidmatan.

Anda Mungkin Berminat