KKR Pantau 1,500 Cerun Berisiko Tinggi Hadapi MTL

PARLIMEN | Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan akan terus memantau lebih 1,500 cerun berisiko sangat tinggi menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2025-2026, melalui sistem amaran awal tanah runtuh dan rangkaian tolok hujan di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun telah mengambil langkah proaktif merangkumi strategi pra, semasa dan pasca bencana bagi memastikan Jalan Persekutuan serta cerun sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Daripada 34,633 cerun yang diinventori, 1,572 cerun dikenalpasti mempunyai tahap risiko sangat tinggi.

“Selain itu, pengumpulan peta bahaya di Semenanjung Malaysia melibatkan 2,100 kilometer jalan telah siap pada Ogos 2025.

“Terdapat juga 73 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia; 41 di Semenanjung, 19 di Sabah, 11 di Sarawak dan dua di Labuan,” katanya.

Alexander berkata, JKR telah menghasilkan peta bahaya dan risiko cerun bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta menggariskan tindakan awal sekiranya berlaku insiden tanah runtuh.

Langkah-langkah kesiapsiagaan itu merangkumi pembersihan laluan dan sisa runtuhan tanah, pengurusan trafik serta penyediaan laluan alternatif, perlindungan permukaan cerun selain persediaan tenaga kerja, jentera dan logistik di peringkat negeri dan daerah.

“Semua JKR negeri dan daerah diarahkan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga serta persediaan rapi dari segi tenaga kerja, jentera dan logistik bagi memastikan keselamatan jalan raya dan cerun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas insiden jalan runtuh di Gua Musang pada 17 November lalu, Alexander berkata, ia berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri Kelantan sentiasa memantau syarikat konsesi berdasarkan skop perjanjian termasuk pemeriksaan rutin berkala terhadap jalan yang sering berlaku lubang benam (sinkhole).

“Laporan dikeluarkan setiap bulan dan pemeriksaan dilakukan seminggu sekali,” katanya.

Anda Mungkin Berminat