AfCFTA dan ASEAN beri manfaat rakyat Malaysia – Afrika

ADDIS ABABA: Malaysia komited memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara Afrika susulan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf di ibu pejabatnya pada Khamis, Anwar merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau Mac lalu dan menegaskan kesediaan Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama serantau.

Anwar berkata langkah itu membuka ruang baharu kepada kedua-dua pihak untuk merangka hubungan lebih berpandangan jauh, selaras dengan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh diplomasi dan kerjasama global.

Beliau turut menekankan potensi besar menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN, yang disifatkan mampu meningkatkan keterhubungan serta membuka peluang ekonomi baharu.

“Sambungan AfCFTA dan ASEAN boleh menjadi pemangkin pertumbuhan baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua rantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia juga menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran dalam bidang relevan kepada agenda pembangunan Afrika, termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, infrastruktur mampan dan sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit.

Menurut Anwar, hubungan Malaysia – Afrika akan terus diperkukuh berteraskan solidariti, persahabatan tulen dan semangat saling menghormati.

Perbincangan bersama AUC ini merupakan antara agenda utama lawatan kerja Perdana Menteri ke Ethiopia yang turut disertai pembukaan semula misi diplomatik Malaysia setelah ditutup sejak 2016.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat