PETALING JAYA: Kerajaan Madani terus memperkukuh komitmen terhadap keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam maya dengan pelancaran kempen baharu, ThinkTwice Parental Advisory, pada Jumaat.
Kempen itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara TikTok, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif literasi digital ThinkTwice yang menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan bukti dalam usaha meningkatkan keselamatan dalam talian.
Menurut kenyataan media TikTok, kempen tersebut memberi penekanan kepada tanggungjawab bersama antara ibu bapa, platform digital dan pembuat dasar, di samping menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat, menyuarakan pendapat, melindungi privasi serta menikmati kebebasan berfikir.
Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood berkata, kesejahteraan digital remaja tidak boleh dipisahkan daripada sokongan keluarga kerana tabiat dan budaya dalam talian terbentuk melalui persekitaran rumah yang sihat.
“Keselamatan dalam talian tidak seharusnya bermaksud menyekat akses remaja ke ruang digital.
“Internet hanyalah cerminan isu sosial dunia sebenar.
“Budaya dibentuk oleh komuniti dan tabiat baik bermula dari rumah.
“Kita perlu memperkasa ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil menanam sikap berwaspada, menggalakkan rutin sihat dan mewujudkan komunikasi bermakna dengan anak-anak remaja mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil menekankan bahawa cabaran yang dihadapi remaja seperti buli, tekanan rakan sebaya, isu kesihatan mental dan tingkah laku berbahaya bukanlah perkara baharu.
Namun katanya, peranan ibu bapa tetap menjadi tunjang utama dalam membimbing mereka.
“Ibu bapa dan penjaga ialah pembimbing utama kerana mereka paling dekat dan paling memahami keperluan anak-anak.
“Justeru, kami berusaha membekalkan pengetahuan dan alat kepada ibu bapa untuk membina generasi digital yang bertanggungjawab agar remaja lebih bersedia menavigasi dunia dalam talian dengan selamat,” katanya.
Firdaus menambah, panduan yang disediakan melalui kempen itu membantu ibu bapa memainkan peranan aktif dengan memanfaatkan ciri keselamatan komprehensif TikTok, selaras dengan dapatan kajian global.
Dalam kenyataan berasingan, MCMC menyatakan bahawa panduan tersebut melengkapi Kempen Keselamatan Internet agensi itu, sekali gus menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Inisiatif seperti ‘ThinkTwice’ membekalkan keluarga dengan alat praktikal, panduan dan kesedaran untuk memastikan remaja di Malaysia dapat meneroka, belajar dan berhubung dalam talian dengan yakin dan selamat,” katanya.








