Hajiji Lancar Manifesto GRS: ‘Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan’

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat melancarkan Manifesto GRS yang digariskan sebagai pelan pembangunan menyeluruh untuk lima tahun akan datang, berlandaskan matlamat utama -Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan’.

Manifesto tersebut dibina atas gagasan Rumah Kita, Kita Jaga, dengan empat rukun utama serta 16 strategi pembangunan yang merangkumi sektor ekonomi, pendidikan, kebajikan, perpaduan, keselamatan dan masa depan anak Sabah.

“Manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya tetapi satu komitmen jangka panjang untuk membawa Sabah bergerak ke hadapan,” kata Hajiji yang juga calon DUN Sulaman dalam satu kenyataan.

Di bawah rukun Sabah First, GRS memberi fokus kepada perjuangan hak negeri termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tuntutan 40 peratus geran khas, pemerkasaan autonomi wilayah serta usaha memperkukuh keselamatan sempadan.

Rukun Sabah Forward pula menekankan penciptaan sumber pendapatan masa depan melalui penubuhan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah, selain meneroka sektor ekonomi baharu seperti Ekonomi Biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan kredit karbon.

Bagi rukun Sabah Prosper, manifesto memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas rakyat seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Ia turut menjanjikan peluasan program kebajikan, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik serta pelaksanaan program SMJ 2.0 bermula tahun 2026.

Sementara itu, rukun Sabah United menekankan perpaduan rakyat dengan memberi akses peluang sama rata kepada anak muda dan golongan rentan, selain mengukuhkan kestabilan politik melalui penyatuan parti-parti lokal.

Manifesto itu turut dibina berasaskan rekod pentadbiran GRS sepanjang lima tahun lalu termasuk peningkatan hasil negeri, lonjakan pelaburan, pemberian biasiswa terbesar dalam sejarah Sabah, peningkatan rizab negeri serta pelaksanaan syarat baharu terhadap PETRONAS.

Anda Mungkin Berminat