Jamawi Janji Perluas Projek Rumah Mampu Milik Di Melalap Jika Diberi Mandat

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Melalap, Jamawi Jaafar, menegaskan komitmennya untuk memperluaskan Program Perumahan Rakyat Melalap sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, usaha menyediakan rumah mampu milik bukan sekadar janji politik, sebaliknya misi yang telah bermula sejak tahun 2020 melalui projek fasa pertama melibatkan 50 unit rumah murah.

“Walaupun saya tewas ketika itu, saya tetap melaksanakan janji saya.

“Kini 50 unit ini sudah 70 peratus siap,” katanya menerusi satu hantaran video.

Menurut Jamawi, setiap unit rumah bernilai RM120,000 namun subsidi daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengurangkan harga kepada RM48,000 bagi pemohon berpendapatan rendah.

“Kita mahu lebih banyak rumah murah untuk anak muda.

“Jika saya diberi peluang, fasa dua, tiga dan seterusnya akan kita laksanakan di kawasan yang sudah pun dikenal pasti,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan untuk projek tersebut telah mencecah 200 pemohon, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap rumah mampu milik di kawasan Melalap dan Tenom.

“Kita perlukan kesungguhan politik daripada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menambah subsidi agar lebih ramai layak memiliki rumah,” tambahnya.

Jamawi berkata, projek itu memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah termasuk pekebun kecil getah yang hanya perlu mengemukakan slip jualan sebagai bukti pendapatan.

Untuk info, program perumahan itu merupakan sebahagian daripada janji Jamawi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 untuk membangunkan rumah mampu milik di Melalap.

Walaupun ketika itu beliau tidak berjaya, komitmen tersebut tetap diteruskan dan kini kembali ditawarkan dalam PRN semasa sebagai kesinambungan perjuangan beliau untuk rakyat.

Anda Mungkin Berminat