PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah sebagai ruang penting bagi Kerajaan Persekutuan menjelaskan pelbagai dasar serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tempoh kempen juga memberi peluang kepada rakyat Sabah menilai hasil pelaksanaan agenda Kerajaan Madani yang kini memasuki tahun ketiga pentadbiran.
“Saya lakukan sedaya upaya untuk Sabah. Soal elektrik, mereka minta kuasa diserahkan kembali, kita serahkan.
“Jika dana tidak cukup, kita tambah termasuk perkara yang sebenarnya di luar skop Kerajaan Persekutuan.
“Masalah air di UMS misalnya, saya telah luluskan RM3 juta,” katanya dipetik Malaysiakini.
Pada tahun 2023, kerajaan meluluskan RM3 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menangani isu bekalan air, selain memuktamadkan penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah yang berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut menekankan keperluan tender terbuka dalam pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah agar hanya syarikat berkeupayaan diberi tanggungjawab.
“Kita sudah rugi dua tiga tahun. Pan Borneo di Sarawak hampir siap,” katanya.
Mengulas sentimen kenegerian yang dimainkan parti tempatan Sabah, Anwar berkata, isu sebenar bukanlah soal asal-usul parti, sebaliknya berkaitan tadbir urus dan ketirisan hasil negara.
“Parti harus berkhidmat. Saya tiada masalah dengan parti tempatan tetapi jika tiada kerjasama dengan Kerajaan Pusat, rakyat yang terbeban,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 25 November.








