PETALING JAYA: Dalam suasana tidak lazim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media ringkas di ‘galley’ pesawat semasa dalam penerbangan rasmi ke Afrika Selatan dengan menjadikan dapur kecil pada ketinggian 40,000 kaki sebagai pentas komunikasi terbuka bersama media.
Sidang media itu berlangsung kira-kira dua jam selepas berlepas dari Addis Ababa, Ethiopia, apabila jadual padat lawatan tidak memungkinkan sesi taklimat panjang.
“Saya sempat bertemu dan menjawab beberapa soalan daripada delegasi media yang turut serta dalam lawatan kali ini.
“Pertemuan ringkas ini memberi ruang untuk berkongsi hala tuju, menjelaskan beberapa dasar utama selain menegaskan komitmen Malaysia terhadap diplomasi yang telus dan berpaksikan rakyat,” kata Anwar dipetik Malaysiakini.
Deruman enjin pesawat menjadi latar bunyi, namun tidak mengganggu fokus sidang media selama lebih 15 minit itu.
Anwar menjawab setiap soalan dengan tenang, mencerminkan pendekatan beliau yang terbuka dan bersahaja dalam berinteraksi dengan media.
Lawatan kerja empat hari ke Johannesburg dari 20 hingga 23 November adalah bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) atas jemputan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Delegasi seterusnya akan ke Nairobi, Kenya sebelum pulang ke tanah air.
Bagi petugas media, sidang media ini bukan sekadar sesi soal jawab ia adalah pengalaman luar biasa yang memperlihatkan sisi kepimpinan Anwar yang spontan, inklusif dan sentiasa bersedia untuk berdialog, walau di ruang sekecil dapur pesawat.








